Alhamdulillah Allah s.w.t memberikan kita nikmat Iman dan bermacam-macam nikmat lagi kepada kita. Berusahalah kita agar menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur agar kita tidak kufur.
Alhamdulillah kerana saya selamat sudah menyeberangi lautan kecintaan dan kehambaan kepada Allah s.w.t dan dan Rasulullah. Banyak pengalaman yang saya peroleh sepanjang saya disana, apa yang paling mengejutkan ialah begitu ramai umat Islam yang kini sedang kembali kepada Allah s.w.t disaat ada juga dikalangan manusia masih lagi tidak sedar siapa dia di dunia ini.
Saya menyemai kecintaan dengan Rasulullah semasa berada di madinah, rasa diri ini sangat kerdil kerana masih banyak sunnah nabi belum diamalkan, masih banyak kecintaan dunia di dalam hati mengatasi kecintaan kepad Rasulullah, tetapi saya dijemput untuk menziarahi baginda. Alangkah bertuah sesiapa yang bertemu dengan nabi dan memberi salam kepada baginda. Insan yang namanya ada disetiap lapisan langit, insan yang sanggup mengambil semua kesakitan umatnya, insan yang sanggup mengorbankan segalanya demi Allah dan agama Islam, insan yang digeruni dan disayangi oleh semua makhluk, adakah layak kita mencitai yang selainnya melebihi baginda?
Menyemai cinta dengan Allah s.w.t di Masjidil Haram adalah saat yang paling mengasyikkan, kiblat yang kita hanya berarahkannya dapat dilihat dengan mata kepala saya sendiri, begitu banyak rahsia ketuhanan disana hanya dapat dilihat bagi orang yang dibenarkan melihat, maka tidak hairanlah ada diantara mereka yang tidak mahu melepaskan tempat yang barokah ini melainkan atas faktor tanggung jawab di sini.
Ya Allah izinkan hamba Mu yang berdosa ini untuk menjejakkan kaki semula di kota KekasihMu dan izinkan hambaMu ini untuk menjejakkan kaki ke bumi Barokah Mu agar aku hanyut dengan cinta kepada Mu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan