Khamis, 15 Mac 2012

jika Allah suka kenapa nak bimbang?

Asalamualaikum sahabat semua

Alhamdulillah semoga Islam yang ada dalam diri kita bukanlah semata-mata topeng tetapi Islam yang kita galas adalah berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Jangan kata kita hebat walaupun kita ada PHD dalam Quran Sunnah atau PHD dalam Qiraat kerana kita masih belum mampu menandingi kehebatan Imam Syafie, Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Hambali. Cermin diri kita adakah amalan kita seperti mereka, cermin diri kita adakah kita mampu meninggalkan dunia demi agama.

Sahabat semua....pada pagi ini saya agak serius kerana melihat keadaan manusia disaat ini yang semakin lalai dengan nafsu sendiri, kita lebih banyak mengutamakan nafsu,perasaan dan keduniaan berbanding dengan perintah Allah s.w.t. kepada kita. Lihatlah berapa ramai yang tidak solat subuh semata-mata ingin mengejar waktu punchcard sebelum pukul 8 pagi. Berapa ramai yang tidak mengeluarkan zakat kerana takut kurangnya harta dan berapa ramai menolak hukum hudud kerana berbagai alasan yang mengikut hawa nafsu sahaja.

Ayuh bangunlah wahai jiwa umat Islam kita bukan lagi diambang keselesaan kerana maut dan masa titik pertemuan kita dengan rABBUL jaLIL SEMAKIN HAMPIR. aDAKAH KITA INGIN BERJUMPA DENGANNYA DALAM KEADAAN DERHAKA?

Isnin, 12 Mac 2012

blok dalam kehidupan

Asalamualaikum sahabat semua

Syukur pada Mu Ya Allah diatas nikmat iman dan kekuatan untuk bernafas di saat ini. Malam yang sepi sering kali kita biarkan dengan lena yang panjang sedangkan para kekasihNya menjadikan malam sebagai pentas untuk mereka beraksi bagi menyatakan cinta yang membara di dalam hati.

Kehidupan hari ini kita sama-sama harapkan agar ianya menjadi yang terbaik dari semalam kerana itulah target kita sebagai seorang yang beriman kepada Allah s.w.t. Jika hidup kita di dunia ini tidak ada matlamat maka perjalanan hidup kita ini seperti kapal yang tiada kapten.

Pernah tak sahabat-sahabat semua terfikir ada beberapa perkara yang kita nak sangat tetapi sangat susah untuk kita capai dan gapai apatah lagi memeluknya. Perkara seperti ini saya perhatikan sudah sekian lama, apa yang saya dapat simpulkan ialah setiap penghalang ataupun blok bagi kita mencapai sesuatu perkara ada kaitannya dengan dosa.

Mungkin ada diantara kita yang menyatakan ini adalah mustahil, tetapi saya ada hujahnya iaitu ilmu tidak akan dapat masuk ke dalam hati yang kotor, begitu juga dengan matlamat kita tidak akan dapat capai sekiranya hati kita masih kotor khususnya dengan sifat yang negatif seperti hasad dengki, riak takabur dan sebagainya.

Untuk memastikan segala yang kita rancang berjalan dengan lancar pastikan kita dalam keadaan bersih zahir dan batin insyaallah segalanya dalam genggaman.

Ahad, 4 Mac 2012

jika tiada perasaan bersyukur hati pasti tidak kaya

Asalamualaikum sahabat semua

Alhamdulillah diatas segala kurnianNya kepada kita, apabila kita melihat diri kita dari hujung rambut sampai ke hujung kaki alangkah lemahnya kita kerana kita bergantung sepenuhnya dengan Allah s.w.t

Perjalanan hidup kita tetap akan berterusan sehinggalah kita memejamkan mata, selagi belum menutup mata kita perlu melangkah walaupun terasa sangat berat untuk melangkah dan mungkin juga ada diantara kita yang hampir terjatuh dalam kehidupan.

Perasaan sedih kecewa ditimpa ujian dalam mehidupan ini, akan tetapi kita semua perlu sedar bahawa kehidupan ini bukan milik kita dan juga bukan milik orang lain kerana kehidupan itu dimiliki oleh Allah s.w.t kerana DIA yang Maha Hidup. Segala apa yang berlaku adalah atas kehendakNya.

Ramai yang terlupa, dengan angkuhnya menyalahkan orang lain diatas kejatuhan hidupnya tetapi lupa bahawa kejatuhan hidupnya dibenarkan oleh Allah s.w.t dimana kita ini adalah hambaNya.

Bersyukurlah kita sahabat kerana kesakitan itu hanya sedikit jika kita hendak bandingkan dengan nikmat kurnianNya yang sangat banyak dan tidak dapat kita hitung.